loading...
Tinggal di bandar sememangnya memerlukan kos yang sangat tinggi. Keluar rumah duit pun keluar juga. Itu belum masuk lagi harga barang yang semakin mahal dan juga kos berulang alik ke tempat kerja.
Ketika ini peningkatan perbelanjaan lebih terasa dan sudah tentu akan terus meningkat. Langkah terbaik adalah memulakan penjimatan dari sekarang. Untuk yang bekerja boleh mulakannya hari esok di tempat kerja.
1. Guna pengangkutan awam
Jika mempunyai pilihan menggunakan pengangkutan awam, manfaatkanlah. Atur masa sebaik mungkin jika mahu menggunakan pengangkutan awam agar anda boleh sampai di tempat kerja tepat pada waktu.
2. Carpool
Jika menggunakan kenderaan sendiri, cuba carpool dengan rakan sekerja yang tinggal di laluan yang sama dengan anda. Buat jadual giliran membawa kereta dengan rakan anda. Aturan masa juga amat penting kerana banyak persinggahan untuk mengambil rakan yang lain.
3. Bawa bekal dari rumah
Elakkan makan di luar. Bersarapan terlebih dahulu di rumah. Sebaiknya bawa bekal makanan dari rumah untuk makan tengah hari. Lauk yang sama juga boleh dipanaskan dan dimakan pada malam hari di rumah.
Bawa buah-buahan potong untuk dimakan sela-sela waktu makan. Ini dapat elakkan keinginan ingin mengunyah makanan. Dengan cara ini, anda bukan sahaja dapat jimatkan wang belanja makan, tetapi boleh juga jimatkan kos penggunaan minyak kereta.
4. Minum di pantri
Anda penggemar kopi? Kerap minum petang di kafe? Cuba hentikan kebiasaan tersebut. Anda boleh bawa bahan-bahan keperluan untuk minum ataupun paket 3 dalam 1 minuman dan dibancuh sendiri di pantri.
Lebih menjimatkan berbanding duduk di kafe. Kemungkinan, bukan sahaja kopi tetapi silap haribulan kuih-muih pun dibeli juga.
5. Kurangkan bersiar-siar
Bersiar-siar ataupun berjumpa kawan selepas waktu kerja bukanlah satu perkara asing. sesekali ia membantu meringankan beban kerja yang dirasai. Namun bagi anda yang kerap dan gemar melakukannya tanpa sedar anda boleh terjebak dalam situasi membazir.
Lebih buruk lagi jika tempat kerja berdekatan dengan kawasan atau pusat membeli-belah. Apa kata hentikan tabiat tersebut. Sekurang-kurangnya dapat juga jimatkan wang daripada berbelanja makanan atau barang yang tidak diperlukan ketika bersiar-siar.
6. Tinggalkan kebiasaan buruk habiskan wang
Sehari dua lagi gaji anda akan dapat gaji. Namun gaji yang diperolehi sebelumnya masih berbaki. Simpan atau habiskan? Pilihlah untuk disimpan. Jika bukan untuk situasi kecemasan, ia akan lebih bermanfaat untuk digunakan dalam perkara-perkara yang baik.
7. Henti tabiat buruk
Ketagihan merokok salah satu contoh tabiat buruk. Ia bukan sahaja boleh memudaratkan kesihatan tetapi juga menyebabkan pembaziran. Bayangkan anda dapat menghentikan tabiat ini. Berapa banyak yang anda boleh jimatkan dalam sebulan? Fikirkanlah.
8. Jangan terpengaruh dengan jualan
Tak dinafikan ramai di kalangan kita yang gemar berbisnes untuk menambah pendapatan. Jika anda mahu berjimat-cermat, elakkan dari mudah terpengaruh dengan jualan jika ia benar-benar dirasakan tidak perlu. Boleh bayar ansuran?
Membeli kerana mahu ambil hati kawan? Lebih baik jangan. Ini dapat mengelakkan anda daripada berhutang ataupun menyesal apabila ketirisan wang belanja.
9. Hadkan perbelanjaan anda setiap hari
Cuba buat had perbelanjaan setiap hari. Jika sudah bawa bekalan makanan, minum air yang dibawa dari rumah ataupun di pantri sebahagian perbelanjaan makan anda sudah dapat dijimatkan. Tetapi kadangkala anda tidak dapat mengelak untuk berbelanja. Cuma, pastikan tidak melebihi had yang telah ditetepkan.
10. Puasa sunat Isnin dan Khamis
Berpuasa bukanlah bermakna anda tidak mampu untuk berbelanja. Selain dapat pahala sunat berpuasa, memelihara kesihatan dan mengekalkan berat badan yang baik, puasa juga dapat membantu anda berjimat. Cubalah amalkan perlahan-lahan. InsyaAllah mudah dibiasakan.
loading...